Monday 7 September 2015

1.2 BENTUK MUKA BUMI

Kedudukan Geografi

  • Antara salah satu faktor bentuk bumi di Melaka ialah kedudukan geografi. Melaka terletak di tempat yang strategik di Selat Melaka, iaitu di pertengahan jalan perdagangan antara Timur dan Barat. Pedagang-pedagang asing yang berulang alik di antara India (Barat) dan China (Timur) akan berdagang di Melaka, selain mendapat bekalan makanan dan air ataupun membaiki kapal. Pelabuhan Melaka juga terlindung daripada tiupan angin Monsun Timur Laut oleh Banjaran Titiwangsa dan angin Monsun Barat Daya oleh Pulau Sumatera. Angin Monsun Timur laut yang bertiup dalam bulan November hingga Mac membawa pedagang China ke Melaka dan pada masa sama akan membawa pedagang Asia Barat dan India belayar pulang dari Melaka. Angin Monsun Barat Daya yang bertiup dalam bulan Mei hingga September pula akan membantu pedagang Asia Barat dan India ke Melaka dan pada masa yang sama membawa pedagang China belayar pulang dari Melaka. Selain itu, muara sungai Melaka yang dalam membolehkan kapal dagang yang besar berlabuh di kawasan pelabuhan. Perairan Selat Melaka yang sempit juga telah membolehkan kerajaan Melaka mengawal laluan kapal-kapal dagang dengan mudah. Melaka juga mempunyai bentuk muka bumi yang berbukit yang menjadi panduan untuk kapal dagang keluar masuk ke pelabuhannya. Selain sesuai dijadikan kubu pelabuhan serta tempat memerhati musuh. Pokok-pokok bakau dan api-api yang terdapat di persisiran pantai pula menjadikannya sukar ditembusi musuh.



Kemudahan Pelabuhan

  • Antara kemudahan pelabuhan ialah pelbagai kemudahan disediakan oleh pemerintah di pelabuhan Melaka untuk menarik pedagang-pedagang asing ke pelabuhan Melaka. Antara kemudahan-kemudahan tersebut ialah kemudahan membaiki kapal, menyediakan rumah persinggahan dan gudang untuk menyimpan barang. Kemudahan pengangkutan juga disediakan oleh Syahbandar seperti kapal, perahu, jong, lancara, gajah dan pekerja untuk kemudahan para pedagang untuk membawa barangan ke gudang.Pedagang juga mudah mendapatkan bekalan makanan dan air sebelum memulakan pelayaran semasa menunggu pertukaran angin Monsun. Angkatan laut yang terdiri daripada Orang Laut juga dibentuk untuk melindungi pedagang daripada serangan lanun.

No comments:

Post a Comment