Parameswara( Raja Iskandar Shah ) |
Wednesday, 9 September 2015
1.0 PENGENALAN NEGERI MELAKA
Melaka amat dikenali kerana keunikan sejarahnya. Sejarah
Melaka bermula apabila Parameswara putera raja dari Palembang telah terlibat dalam
peperangan merebut takhta kerajaan Majapahit pada akhir abad ke-14. Setelah ditumpaskan oleh
Majapahit, baginda telah lari mencari perlindungan ke
Temasik yang pada ketika itu dikuasai oleh Siam. Setelah diusir dari
Temasik oleh penjajah dari Siam, pada tahun 1396, beliau dan
pengikut-pengikutnya mengundurkan diri ke Muar dan kemudiannya ke Sungai
Ujong sebelum singgah di Bertam iaitu berdekatan dengan muara sungai
Melaka. Setelah tiba di Bertam, baginda telah melihat anjing perburuannya ditendang oleh seekor pelanduk
putih. Baginda amat kagum dengan keberanian pelanduk putih tersebut
dan membuat keputusan untuk membuka negeri di situ. Baginda telah
bertanyakan nama pohon tempat baginda bersandar dan pengikutnya memberitahu
bahawa nama pohon tersebut adalah pohon Melaka. Maka baginda telah
membuat keputusan untuk menamakan negerinya sempena nama pohon tersebut.
Pilihan Parameswara begitu tepat sekali kerana kedudukan
Melaka yang strategik. Lokasinya di tengah-tengah tebing Selat Melaka yang menghubungkan negara China ke India
dan Timur telah menjadikannya tempat yang amat sesuai sebagai pusat
perdagangan. Kedatangan pedagang-pedagang Arab serta pedagang-pedagang
dari Timur dan Barat telah menjadikan Melaka sebagai sebuah pelabuhan
entrepot yang sibuk dengan ratusan kapal yang singgah setiap tahun.
Parameswara yang telah memeluk Islam melalui seorang ulama dari
Jeddah pada tahun 1414 telah meletakkan asas kemajuan negeri Melaka sebagai
pusat perdagangan dan pengembangan agama Islam yang terulung di rantau
ini. Melaka terus terkenal sebagai pusat perdagangan Melayu di Timur. Antara
barang dagangan yang boleh didapati di Melaka adalah sutera dan
porselin dari China, kain dari Gujerat serta Coromandel di India,
kapur barus dari Borneo, cendana dari Timor, buah pala dan bunga cengkih
dari Molucas, emas dan lada hitam dari Sumatera serta timah dari Tanah
Melayu.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment